Pilihan Ijazah dan Diploma Universiti Kanada

Institusi pasca menengah mengeluarkan ijazah, diploma dan sijil, bergantung pada sifat institusi dan tempoh program. Di universiti dan kolej universiti, terdapat penekanan pada program ijazah. Ijazah gunaan ditawarkan oleh beberapa kolej. Di semua institusi lain, penekanan diberikan terhadap program diploma universiti Kanada dan sijil.

Program Diploma dan Sijil – Ijazah Bersekutu (1-2 tahun)

Kolej dan institusi menawarkan program diploma dan sijil sebagai aktiviti utama mereka, sementara yang lain menawarkan ijazah Kanada dalam bidang pengkhususan tertentu.
Di institusi ijazah itu ditawarkan, program ijazah boleh jadi ijazah sekutu dua tahun atau ijazah gunaan empat tahun. Secara amnya, diploma dan sijil universiti perlu mengikuti pengajian melalui kuliah di Kanada selama dua tahun dalam bidang atau disiplin yang khusus. Walau bagaimanapun, program ini mempunyai perbezaan yang besar dari satu institusi ke institusi lain dan dari wilayah ke wilayah.

Kolej komuniti ialah institusi pasca menengah yang dikawal kerajaan menawarkan sijil satu hingga dua tahun akademik dan pra-profesional, diploma, ijazah sekutu dua tahun dan ijazah sarjana muda pengkhususan tiga dan empat tahun juga. Terdapat lebih 150 kolej komuniti yang menempatkan 900,000 pelajar sepenuh masa dan 1.5 juta pelajar separuh masa di lebih 900 kampus di seluruh Kanada. Setiap tahun beribu-ribu pelajar antarabangsa datang ke Kanada untuk pengajian kolej komuniti.

Kolej komuniti di Kanada adakalanya turut digelar institut, institut teknologi, kolej teknikal, kolej daerah, CEGEPS (akronim untuk Collège d’enseignement general et professionnel) di Quebec, kolej universiti atau hanya kolej. Kolej komuniti melengkapkan kebitaraan yang unik dalam sistem pendidikan di Kanada. Kolej ini menggabungkan kualiti, akademik yang menyeluruh dengan program yang berteraskan majikan, hubungan industri dan peluang pekerja pelatih. Kolej komuniti menawarkan kursus akademik dalam bidang seni dan sains, selain latihan pengkhususan kerjaya dan bahasa. Kolej itu sendiri mungkin sebuah sekolah pendidikan am, yang menawarkan pelbagai program dalam pelbagai bidang (seperti kesihatan, perniagaan, teknologi, perdagangan, peningkatan akademik, seni gunaan dan kreatif, perkhidmatan sosial, hospitaliti, dan penyediaan ke universiti), atau mungkin bidang tunggal – kolej khusus industri – atau budaya (misalnya, kolej perhutanan, seni dan seni reka, undang-undang dan keselamatan awam atau pengajian Orang Asli). Anda boleh memindahkan Sijil atau Ijazah Sekutu dari Kolej Komuniti kepada institusi yang menawarkan ijazah sarjana muda untuk melanjutkan pelajaran juga.

Siswa – Ijazah Sarjana Muda (tiga – lima tahun)

Pelajar pada peringkat ijazah sarjana muda dikenali sebagai siswa.
Keperluan biasa untuk kemasukan ke pengajian sarjana muda ini ialah tamat program sekolah menengah Ijazah sarjana muda biasanya perlu mengikuti pengajian sepenuh masa selama tiga atau empat tahun, bergantung pada wilayah atau sama ada program itu umum atau khusus. Ijazah sarjana muda kepujian biasanya merujuk pada penumpuan yang lebih tinggi terhadap subjek kepujian selain pencapaian akademik yang lebih tinggi. Di sesetengah universiti, ijazah kepujian mungkin menghendaki pengajian tambahan selama satu tahun.

Lepasan Ijazah – Ijazah Sarjana/Ijazah Kedoktoran

Pada kebiasaannya ijazah sarjana perlu mengikuti pengajian selama dua tahun selepas tamat ijazah sarjana muda kepujian. Kelayakan biasa untuk program kedoktoran ialah ijazah sarjana. Walau bagaimanapun, pelajar pernah dibenarkan, dalam keadaan khas, untuk terus ke program kedoktoran setelah selesai program sarjana muda kepujian.
Pengajian minimum selama tiga tahun sehingga empat atau lima tahun berserta penyelidikan selain disertasi, ialah keperluan normal untuk ijazah kedoktoran.
Ijazah sering dikenali sebagai Ph.D; namun demikian, ijazah kedoktoran juga dianugerahkan dalam bidang pengajian tertentu seperti muzik (D.Mus.) atau undang-undang (LLD).

Dalam profesion berperaturan seperti perubatan, undang-undang, pendidikan dan kerja sosial, pekerja pelatih atau praktikum sering diperlukan untuk memperoleh lesen pengamalan.

Banyak kolej dan universiti menawarkan diploma lepasan ijazah satu atau dua tahun dan program sijil kepada pelajar yang mahu memberi nilai tambah pada ijazah sarjana muda mereka dengan latihan yang khusus.